Monday, September 8, 2008

Universiti Bertaraf Dunia?

Beberapa hari lepas, saya memasuki laman web sebuah universiti suwasta kecil di Amerika, Vanderbuilt University, Nashville, Tennessee. Terkejut saya apabila mendapati universiti berkenaan mendapat tempat ke 42 dalam senarai 500 universiti terbaik seluruh dunia yang disediakan oleh Academic Ranking of World Universities . Saya membuat rujukan kepada laman web pengendali "rangking" berkenaan, (http://www.arwu.org/rank2008/EN2008.htm), dan mendapati universiti yang sama menduduki tempat ke 36 dalam senarai 100 universiti terbaik di Amerika, termasuk Canada, dan tempat ke 32 tanpa Canada. Saya melihat pula senarai 100 universiti terbaik di Asia. Menduduki tempat pertama dalam senarai 100 universiti terbaik Asia Pacific ialah Universiti Tokyo yang mendapat kedudukan ke 19 dunia. Saya cuba mencari-cari kalau ada salah sebuah universiti di Malaysia yang tersenarai dalam senarai 100 universiti terbaik Asia Pacific itu, tetapi ternyata tidak ada. Terdapat National University, Singapura, pada kedudukan 9-16 peringkat Asia Pacific, tapi pada kedudukan 100-151 peringkat dunia.

Kalau demikian, saya terfikir, di mana duduknya universiti-universiti tanah air. Saya meneliti kedudukan ke 100 dalam senarai 100 universiti terbaik Asia Pacific. Kedudukan ini diperolehi oleh Universiti Zhongsan, China, yang menduduki tempat ke 402-503 senarai universiti terbaik dunia. Kalau demikian, tentulah universiti-universiti tanah air berada di bawah kedudukan 500 universiti terbaik dunia. Maka di manalah kita untuk bercakap tentang universiti kita bertaraf dunia.

Orang mungkin merasakan ranking ini tidak penting. Akan tetapi ternyata kita berusaha untuk memasuki ranking berkenaan seperti dapat dilihat daripada pengkelasan universiti-universiti tanah air sendiri dan pemberian status Apex University kepada Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Kita boleh melihat apa sebenarnya yang menjadi kriteria pihak yang mengendali ranking ini dalam menimbang kedudukan sesebuah universiti. Pertama yang menjadi asasnya ialah mutu tenaga pengajar sesebuah universiti dan ini diukur melalui bilangan mereka yang memenangi anugerah Nobel dalam dalam bidang-bidang Fizik, Kimia, Perubatan dan Ekonomi, dan anugerah Fields dalam Matematik (20%). Di samping anugerah-anugerah Nobel dan Fields, mutu tenaga pengajar juga diukur melalui penyelidikan dan kajian mereka yang menjadi rujukan utama dalam pelbagai bidang pengajian (27 bidang) (20%). Penekanan juga diberi kepada hasil penyelidikan (bukan semata-mata membuat penyelidikan) yang diukur melalui artikel-artikel yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal sains terkemuka, Nature dan Science (20%), dan artikel-artikel yang disenaraikan dalam Science Citation Index-expanded dan dalam Social Science Citation Index (20%). Selain daripada itu, mutu pendidikan sesebuah universiti juga diambil kira dan ini diukur melalui bilangan alumni atau graduannya yang memenangi anugerah-anugerah Nobel dan Fields (10%). Akhirnya, jumlah peratusan semua ini dibahagi dengan jumlah semua tenaga pengajar sesebuah universiti dan 10% daripada jumlah pencapaian per capita ini diambil kira dalam penilaian keseluruhan.

Meneliti kriteria yang digunakan ini, rasanya tidaklah mustahil bagi universiti-universiti tanah air untuk memasuki, sekurang-kurangnya, senarai 500 universiti terbaik dunia. Bahawa tidak ada sebuah pun universiti Malaysia yang tersenarai menimbulkan tanda tanya. Memang tidak ada tenaga pengajar universiti di Malaysia yang memenangi anugerah Nobel atau Fields, tetapi National University, Singapura, juga tidak mempunyai tenaga pengajar yang sedemikian. Dari segi penyelidikan dan kajian, universiti-universiti tanah air juga tidak kalah dibanding dengan universiti-universiti yang tersenarai, rasanya, kalau peruntukan berpuluh bilion melalui IRPA dan sebagainya yang telah dihabiskan oleh tenaga pengajar sejak lebih satu dekat dalam membuat penyelidikan mereka diambil kira. Akan tetapi, kenapa universiti kita masih belum tersenarai? Tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Menyentuh penyelidikan yang menjadi kriteria utama dalam menentukan ranking, rasanya sebahagian besar universiti-universiti tempatan menghadapi masalah. Memang dari segi jumlah, penyelidikan yang dibuat begitu banyak, tetapi dari segi mutunya amat menyedihkan. Tenaga pengajar berebut-rebut untuk membuat penyelidikan kerana bilangan penyelidikan menentukan jawatan mereka sama ada ditetapkan dalam jawatan dan dinaikkan pangkat. Dalam hal ini, pihak berkuasa universiti biasanya hanya melihat kepada jumlah penyelidikan bukan kepada mutunya. Oleh itu, penyelidikan-penyelidikan hanya dibuat untuk tujuan perjawatan, bukan untuk memajukan ilmu pengetahuan. Sebahagian besar hasil penyelidikan tinggal berdebu pada rak-rak buku atau dalam laci almari dan tidak pernah diterbitkan atau dibaca orang kecuali si penilai, yang kadang-kadang bersikap indah tidak indah sahaja, mengharapkan balasan penilaian yang serupa bagi hasil penyelidikannya sendiri. Kalau ada yang diterbitkan pun, tidak ada yang membaca atau merujuknya kerana mutunya yang tidak seberapa. Di sesetengah jabatan, penyelidikan hanya dimonopoli oleh sesuatu golongan atau klik sahaja.

Ini semua berkait rapat dengan pengurusan dan pentadbiran universiti tanah air keseluruhannya. Pokok pangkalnya, politik bermaharajalela pada segenap peringkat. Pemilihan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti-universiti, walau pun telah ditubuhkan Jawatankuasa Pemilih, kriteria utamanya tetap kesetiaan politik kepada UMNO. Di sesetengah universiti, dekan-dekan, timbalan-timbalan dekan dan ketua-ketua jabatan, semua kriteria utama perlantikannya berdasarkan kesetiaan politik, bukan kebolehann pentadbiran dan keunggulan akademik. Malah dalam banyak keadaan, perlantikan pensyarah, kenaikan pangkat dan penyambungan perkhidmatan bergantung kepada pegangan politik calon-calon, bukan kelayakan akademik atau sumbangan mereka. Ini tidaklah menafikan sama sekali kriteria akademik dalam pertimbangan-pertimbangan berkenaan. Akan tetapi, pada keputusan terakhirnya, kesetiaan politiklah yang menjadi kata pemutus dan faktor penentunya, walau pun terdapat calon-calon yang lebih baik dari segi akademik dan kebolehan pentadbirannya tetapi berbeza pegangan politiknya.

Oleh hal yang demikian, kita tidak sepatutnya merasa hairan dan terkejut, kalau tidak ada universiti tempatan yang tersenarai dalam senarai 500 universiti terbaik dunia, jangankan senarai 100 universiti terbaik. Malah, dalam hal penubuhan universiti pun, politik memainkan peranan yang utama, mengatasi perkiraan keperluan atau akademik. Atau dengan kata-kata lain, penubuhan universiti menjadi sebahagian daripada janji politik pilihanraya. Tanpa menghirau keperluan pendidikan dan persediaan akademik, kerana ingin mendapat sokongan dan memenangi pilihanraya, tiba-tiba penubuhan universiti diisytiharkan di sesebuah negeri. Kalau orang lain merancang penubuhan sesebuah universiti dan menyediakankan keperluan akademik dan logistiknya bertahun-tahun sebelum diisytiharkan penubuhannya, negara kita mengisytiharkan penubuhan universiti dahulu kemudian baharu membuat perancangannya. Dalam keadaan demikian, tanpa kemudahan-kemudahan pembelajaran yang sempurna dan tenaga pengajar yang cukup terlatih dan berpengalaman, maka yang menjadi mangsanya ialah para pelajarnya. Oleh itu, tidaklah menghairankan kalau alumni atau graduan universiti-universiti tempatan tidak mendaapat tempat dalam pasaran pekerjaan dan ramai yang menganggur. Ini kerana latihan dan didikan yang mereka terima di instidtusi-institusi tersebut tidak dapat memenuhi keperluan kemahiran yang dikehendaki oleh pasaran pekerjaan. Ditambah pula dengan kerenah pentadbiran dan pengurusan universiti seperti yang dinyatakan di atas. Begitu juga, janganlah diharapkan dalam keadaan sekarang ada alumni atau graduan universiti tempatan yang akan muncul dipersada dunia dengan penyelidikan-penyelidikan yang membolehkan mereka memenangi anugerah-anugerah yang bererti dan diiktiraf dunia.

Berdasarkan realiti ini, kejayaan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, sebagai Apex University untuk mencapai tahap universiti dunia agak meragukan. Tanpa penamatan campur tangan dan perkiraan politik yang tidak terbatas dalam penubuhan dan pengurusan universiti, Apex University akan hanya menjadi universiti apek!.

No comments: